Pages

Tuesday, 14 October 2014

'Inferiority Complex' Melayu Generasi Y


Minda anak muda Melayu kian ketat dijajah. 'Inferiority Complex' dalam kalangan Melayu Islam, makin parah hari demi hari. Orang Melayu telah menanam rasa rendah diri dalam 'subconscious mind' (minda bawah sedar) mereka sendiri apabila 'self inferiority' mereka kian menebal apabila melihat kemajuan kaum-kaum lain.

Semangat bersaing, gagah beradu kekuatan dan megah mempamerkan kehebatan hanya dituju kepada bangsa sendiri, tetapi tidak sesekali dituju kepada bangsa-bangsa lain. Melayu Gen Y ini tidak memiliki keberanian membuat perkara yang sama di hadapan kaum lain. Ini realiti majoriti Melayu Gen Y. Melayu Gen Y amat selesa menjadi jaguh kampung.

Situasi pada hari ini menunjukkan akan terjadi 'negative downfall' dalam bangsa Melayu pada masa hadapan. Ini diburukkan lagi dengan cara berfikir mereka yang terlalu 'apologetic' dengan perkara-perkara 'milik' mereka sendiri. Perkara yang tidak menjadi isu pada 15 tahun yang lalu misalnya, dijadikan seperti isu besar hanya kerana takut menyakitkan hati kaum yang lain. Melayu Gen Y sanggup memaki rakan sebangsanya sendiri kerana takut orang lain terganggu atau terusik. Apologeticnya mereka, hingga baju dalam sendiri pun suka diberikan kepada orang lain.

Pemahaman tentang budaya dan agama kaum lain juga hanya difahami secara 'surface' dan kulit sahaja. Namun berkokoknya dia bagaikan ayam betina baru bertelur. Riuh bunyi satu kampung. Maka reaksi terhadap apasaja tindakan oleh bangsa sendiri ditanggapi dengan paranoid yang melampau. Anehnya, Melayu muda Generasi Y merasakan mereka sudah matang dan berfikiran terbuka. Malangnya tanpa mereka sedari, pemikiran subconscious mereka telah terjajah dengan sikap rendah diri yang semakin membarah. Ini akibat bila anak bangsa tidak memiliki jati diri lagi.

Kefahaman yang nipis tentang budaya dan syiar agama sendiri menjadikan masalah apologetic keterlaluan ini semakin parah. Paranoid dengan bangsa sendiri, tapi lansung tak sensitif sikit pun dengan orang lain. Tidak faham tradisi dan sejarah bangsa, tambah mengusutkan jiwa mereka. Siapa yang patut dibela? Mana letak duduk sesuatu perkara? Semuanya tidak terlintas lagi di fikiran Melayu Generasi Y. Yang penting, senyum saja bila orang lain datang sepak atau pelempang.

Tamat pengajian dalam kursus ijazah sarjana bukan bererti mereka yang merasakan diri telah pandai ini tidak terjajah mindanya. Hakikat bahawa jiwa anak muda Melayu hari ini telah kosong dengan jati diri agama, bangsa dan tanah air, sesuatu yang hakiki. Mereka tidak lagi kenal diri, bangsa dan agama mereka sendiri lagi. Maka Melayu Generasi Y hari ini merasakan tidak ada apa-apa yang harus dipertahankan sebagai hak dan milik bangsa sendiri. Hanya apologetic semata-mata dan beri segalanya.

Anak-anak Melayu muda hari ini, perlu cari semula hujung pangkal keturunan dan tiang seri agamanya. Hidup hari ini adalah untuk mewarisi segala yang telah diperjuangkan oleh 'orang muda Melayu' ratusan tahun nan lalu. Pandangan jauh ke depan merekalah yang meletakkan kita di kedudukan sekarang. Maka fikirkan pula anak-anak, cucu cicit yang bakal lahir ratusan tahun akan datang pula. Persoalannya apa yang anak muda Melayu hari ini mampu wariskan? Sebab anak muda Melayu hanya tahu menggadai miliknya saja.

Kepada para pemudi, lebihkan mengguna akal daripada hati. Mulut gadis Melayu muda memang becok bila memberi komentar. Namun kerapkali melulu dan tidak memandang apa akan terjadi seratus tahun akan datang. Pandangan jangan singkat, mengumpat jangan dibuat, adu domba berhentikan. 


Para pemuda sekalian, jangan sampai jadi macam Pak Pandir, yang menangnya sorak kampung tergadai. Teruskan menjadi lelaki yang tahu letak duduk hak-hak bangsa dan agamanya. Sebarkan syiar budaya dan bangsa tanpa rasa kecil bagai mentimun dengan durian. Kalau betul masih mengusung telur!


Sebab tanah yang dipijak dari Perlis hingga ke Johor ini, asal namanya Tanah Melayu. Serta Sabah dan Sarawak, wangsa Nusantara. Benua Melayu hingga akhir zaman.
HZ

No comments:

Post a Comment