Monday 8 September 2014

Asobiyah Arab, punca Derita Palestin?

Puluhan ribu bayi Palestin seperti ini maut dibunuh oleh kaum Yahudi sejak 1947.

Apa Disebalik Genting Gaza, Tebing Barat dan Israel?


Isu Palestin adalah sebuah isu yang begitu rapat dengan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam. Ini kerana ia melibatkan isu kemanusiaan dan kepentingan umat Islam sejagat dalam mempertahankan kedaulatan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis. Walaupun telah 67 tahun isu ini berlarutan, masih tiada cahaya di hujung jalan yang mampu ditemukan. Dalam hal ini, adakah kita benar-benar memahami apakah sebenarnya yang terjadi di Palestin suatu ketika dahulu, atau sekadar ikut-ikutan dalam melaungkan slogan anti-Israel?

Perang Dunia, Turki Uthmaniyah, British dan Arab

T.E Lawrence. Orang Putih yang faham habis tentang Arab.
Kekalahan ‘Kuasa Tengah’ (Jerman, Austria-Hungary, Bulgaria, dan Empayar Turki Uthmaniyah) dengan ‘Pihak Berikat’ (Russia, Perancis, UK, Kanada, Itali, Amerika Syarikat) dalam tahun 1918 telah mengakibatkan Empayar Turki Uthmaniyah yang menguasai banyak wilayah Islam di Timur Tengah dipecah-pecahkan oleh ‘League of Nations’ (sebelum wujudnya United Nations) menjadi wilayah-wilayah kecil. Wilayah-wilayah tersebut kemudiannya dibahagi-bahagikan untuk diletak di bawah pengaruh negara-negara Pihak Berikat yang menang.

Pemberontakan yang ditaja oleh British di seluruh tanah Arab memudahkan lagi Empayar Turki Uthmaniyah dipecah-belahkan menjadi negara-negara kecil Arab Badwi seperti yang wujud pada hari ini. Lieutenant Colonel T.E Lawrence, ataupun terkenal sebagai Lawrence of Arabia misalnya telah merancang pemberontakan besar-besaran Arab Badwi di Semenanjung Hijaz menentang Empayar Turki Uthmaniyah sebelum tertubuhnya negara Arab Saudi. Mereka menentang penguasaan bangsa Turki di wilayah Arab. Apabila menang, Raja-Raja Arab yang baru pun ditabalkan dengan perkenan British.
Raja Hussein, keturunan Bani Hashim, Raja pertama Jordan

Dalam tahun 1922, tanah Palestin tidak lagi ditadbir oleh Empayar Turki Uthmaniyah kerana empayar telah berpecah. Maka pada tahun 1923, seluruh tanah Palestin diserahkan kepada British sebagai ‘British Mandate’. Pada saat itu, Mustafa Kamal Attarturk sudah pun menjadi Presiden Republik Turki yang sekular. Sebahagian dari Palestin (Trans-Jordan) pula telah diserahkan kepada Bani Hashim untuk diperintah, dimana Bani Hashim ialah kerabat di mana Nabi Muhammad (SAW) berasal.

Sejurus tamat Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945, British selaku pentadbir tanah Palestin, telah membuat keputusan untuk memindahkan orang-orang Yahudi dari Eropah ke tanah Palestin yang dikuasainya. Ini dilaksanakan dengan mempergunakan United Nations (PBB) pada tahun 1947. Sudah tentulah negara-negara pemenang Perang Dunia Kedua sahaja yang menguasai PBB dengan kuasa veto dan sebagainya. Ini dilakukan kerana bangsa Yahudi di-propagandakan sebagai mangsa terbesar perang tersebut. Hari ini, pendidikan Jerman misalnya meletakkan beban kesalahan ke atas Adolf Hitler semata-mata dan turut menguatkuasakan undang-undang ‘anti-semitik’ yang tidak membenarkan bangsa Yahudi dikritik.
Mustafa Kamal At-Tarturk

Kemasukan Bangsa Yahudi

Yahudi berbondong-bondong masuk Palestin naik kapal.
Orang-orang Yahudi yang dibawa masuk ke tanah Palestin dengan segera menubuhkan kumpulan-kumpulan gangster dan pengganas (Haganah, Irgun, Lehi dll) untuk melakukan pemberontakan terhadap British dan keganasan ke atas orang-orang Arab Palestin bagi merebut tanah dan wilayah. Pegawai Tinggi British yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan bangsa Yahudi ke Tanah Palestin ialah Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu yang mati dibunuh di Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951.

Perang Saudara Arab-Israel (1947-1948) pun tercetus dan menyaksikan 5000 nyawa orang-orang Arab yang pertama disembelih oleh orang-orang Yahudi di bumi Palestin. Ternyata gabungan negara-negara Arab yang menyertai perang tersebut bagi mempertahankan orang-orang Arab Palestin, terlalu lemah berbanding pasukan militan Yahudi yang amat berpengalaman dalam Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kekalahan teruk tersebut mengakibatkan puluhan ribu orang Arab Palestin dihalau keluar dari kampung-kampung mereka dan menjadi pelarian.

Ratusan kampung orang-orang Arab Palestin diserbu oleh pasukan pengganas Yahudi. Pembunuhan beramai-ramai dilakukan. Gadis-gadis Arab dirogol sebelum dibunuh kejam, pemuda disembelih, wanita, orang tua dan kanak-kanak ditembak sebelum rumah-rumah mereka dibakar sehingga hangus. Ramai juga yang dihumban ke dalam perigi buta sebelum dibakar beramai-ramai oleh pengganas Yahudi.

Antara Pembunuhan Beramai-Ramai (Massacre) 1947-1948

a.       Saliha Massacre 60 ke 70 orang disembelih dan ditembak beramai-ramai. 
b.      Deir Yassin Massacre  100 orang disembelih, ditembak dan dihumban ke dalam perigi buta beramai-ramai.
c.       Lydda Massacre 250 orang dibunuh dan dibakar
d.      Abu Shusha Massacre 70 orang dibunuh
e.      Al-Dawayima Massacre, 200 orang dibunuh
f.        Al- Dawayima Massacre, 500 orang dibunuh
g.       Tantura Massacre, 300 orang disembelih dan dibakar hidup-hidup.

Gadis Yahudi macam gadis James Bond. Cantik, wangi, pembunuh.


‘Negara’ Israel

Sepanjang peperangan tersebut, pihak British lansung tidak mengambil apa-apa tindakan bagi menghalang keganasan bangsa Yahudi ke atas orang-orang Arab yang tidak bersenjata. Ini diburukkan lagi apabila seluruh negara Arab yang bersatu menentang pasukan pengganas Yahudi tidak mempunyai perancangan yang tersusun, senjata yang lapuk, tidak bersatu padu dan lemah dari sudut koordinasi. Akibatnya, lebih 600 buah kampung Arab-Palestin telah dimusnahkan dan dijadikan wilayah petempatan bangsa Yahudi secara haram.

Pada 14 Mei 1948, negara Israel ditubuhkan dan diisytiharkan secara rasmi oleh para pemimpin Yahudi-Zionist. Negara haram Israel dengan segera mendapat pengiktirafan oleh negara-negara Eropah, Britain dan Amerika Syarikat. Biarpun mendapat tentangan oleh negara-negara Arab, namun segala usaha dari sudut diplomatik dan rundingan tetap gagal.

Usaha-usaha bersenjata yang dilakukan oleh negara-negara Arab juga kebanyakannya mengakibatkan korban jiwa yang amat besar di pihak negara-negara Arab. Perang 6 Hari (1967) yang direncana oleh negara-negara Arab turut gagal hingga mengakibatkan Tebing Barat yang menempatkan Masjid Al-Aqsa, jatuh ke tangan Israel. Sebelum perang tersebut, Tebing Barat adalah di bawah kekuasaan Jordan. Begitu juga dengan Bukit Golan yang merupakan milik Syria telah jatuh ke tangan Israel.

Sejak itu, kekejaman dan keganasan Israel terus menerus dilakukan ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza, Tebing Barat, Bukit Golan, dan Selatan Lubnan. Pembunuhan, pengeboman, penculikan, pemusnahan rumah kediaman, ladang-ladang dan perampasan tanah dan wilayah terus terjadi tanpa pembelaan dunia, khususnya oleh negara-negara Islam. Tragedi Sabra Shatila misalnya adalah bukti kebinatangan rejim Zionis Israel.
Di Israel, gadis-gadis cantik sibuk mempertahankan 'negara' mereka. Di Malaysia, gadis-gadis cantik suka berselfie saja.

Peranan dan Tanggungjawab Umat Islam

Kita sering melihat dalam kaca televisyen, dan dada-dada akhbar berkenaan pembantaian Israel ke atas rakyat Arab Palestin. Dan setiap kali melihatnya, emosi dan perasaan kita akan berkobar-kobar seolah-olah ingin pergi berjihad melawan kejahatan Israel tersebut. Namun sedarkah kita semua tentang persediaan dan tahap kekuatan yang kita miliki berbanding bangsa Yahudi Israel?

Dari sudut perpaduan, khususnnya Melayu Islam di negara ini, adakah kita benar-benar bersatu dari semua sudut? Ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan agama, adakah kita muafakat dan bersatu hati dalam mempertahankannya? Sudahkah kita membersihkan hati kita dari sikap talam dua muka, adu domba, kata-mengata, fitnah memfitnah, dan umpat keji sesama kita? Tepuklah dada, dan tanyalah kepada diri sendiri dengan jujur. Semoga jawapannya mampu memberi gambaran jelas antara kekuatan kita dengan bangsa Yahudi Israel yang ingin kita lawan itu. Jangan tungau seberang laut kita nampak, gajah depan mata lansung tak perasan.


Selain itu, pergantungan kepada kuasa-kuasa besar dalam menyelesaikan masalah ini mestilah dihentikan. Yakinlah bahawasanya umat Islam sendiri saja yang perlu bertanggungjawab dalam isu Palestin ini. Justeru itu, tanpa mempelopori ilmu yang mantap, teknologi yang canggih dan ekonomi yang kukuh, usaha membebaskan Palestin dari cengkaman Israel akan kekal tinggal umpama mimpi dalam mimpi.
kah kah kah..