Monday 15 September 2014

(Lengkap) Kanun Jenayah Islam: HUDUD, QISAS & TAKZIR


Hukum Jenayah Syariah Islam

“Sesungguhnya kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad), akan kitab yang Haq supaya kamu menghukum manusia dengan apa yang telah dinyatakan oleh Allah, maka janganlah kamu menjadi pembela kepada orang-orang yang khianat.” An-Nisa’: 105

Hukum Jenayah Syariah Islam adalah suatu hukum berasaskankan dogma dan teologi Islam yang bersandarkan kepada kitab Al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad yang diimani oleh umat Islam.

Lebih berkonsep untuk mewujudkan persekitaran yang mencegah jenayah-jenayah dari dilakukan kerana bersifat mandatori yang bersandarkan wahyu tuhan dan tidak boleh digubal hukum-hukum tersebut.

Perlaksanaan hukuman jenayah di dalam Syariah Islam dilihat lebih keras, namun untuk mensabitkan penjenayah dengan hukuman hudud misalnya, memerlukan tahap pembuktian yang sangat tinggi dan nyata.

Berbeza dengan kanun jenayah undang-undang sivil, setiap kes yang mempunyai prima facie, hanya perlu melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt) dalam proses pembuktian setiap jenayah sivil.

Hukum Jenayah Syariah Islam terbahagi kepada 3.
a.     Hudud
b.    Qisas
c.     Takzir

HUDUD
“Itulah Hudud Allah maka janganlah kamu melanggarnya, dan sesiapa yang melanggar Hudud Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” Al-Baqarah: 229

Hudud (Bermaksud ‘hukum-hukum Allah’) ialah kata jamak kepada Hadd. Jenayah di bawah hukum hudud ada 7 dan semuanya dinyatakan di dalam Al-Quran.
a.     Mencuri
b.    Rompakan bersenjata
c.     Qazaf (Menuduh orang lain berzina tanpa ada saksi dan bukti)
d.    Minum arak
e.     Murtad
f.       Bughah (Melancarkan pemberontakan)


Mencuri (Al-Sariqa)
“Pencuri lelaki dan perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai balasan perbuatan mereka dan sebagai pengajaran yang merupakan langkah pencegahan dari Allah. Dan Allah maha kuasa lagi maha bijaksana”. Al-Maidah: 38

Definisi mencuri menurut Islam: Mengambil harta benda hak milik orang lain dengan tanpa pengetahuan dan kebenaran pemiliknya.

Syarat-syarat jatuh hukum hudud bagi mencuri:
a.     Nisab Kecurian
i.                   Mazhab Hanafi: Nilai Kecurian melebihi 10 Dirham (lingkungan RM250)
ii.                 Mazhab Maliki, Hanbali & Syafie: Nilai kecurian melebihi 3-4 Dirham (lingkungan RM75-RM100)
iii.              Jika nilai kecurian kurang dari nilai yang di atas, pencuri akan dikenakan hukuman di bawah Takzir.
b.    Kondisi Barang kecurian
i.                   Barang tersebut mesti disimpan dengan baik dan dijaga.
ii.                 Sekiranya barang tersebut tidak dijaga dan tidak disimpan dengan baik ketika kecurian berlaku, pencuri tidak boleh dipotong tangan, tetapi dihukum di bawah hukum takzir. Ini berdasarkan hadith dari kitab Muwatta’ oleh Imam Malik.

Sekiranya 2 elemen (Nisab & kondisi barang curi) ini dipenuhi, pencuri mesti dihukum potong tangan kanan (pergelangan tangan). Bagi pencuri yang mencuri kali kedua, potong tangan kiri, dan seterusnya kaki kanan dan kiri.

Rompakan bersenjata (Al-Hiraba)                      
“Sesungguhnya balasan kepada orang-orang yang memerangi Allah dan rasulNya dan membuat bencana di muka bumi, tiada lain dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka secara sebelah yang berasingan atau dibuang negeri. Ini adalah sebahagian dari penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka memperoleh azab yang besar.” Al-Maidah: 33-34

Syarat jatuh hukum hudud bagi rompakan bersenjata
a.     Kejadian rompakan bersenjata mesti berlaku di tempat di mana mangsa tidak mendapat bantuan dan tiada pihak lain yang mampu menolong mangsa ketika kejadian.

Sekiranya memenuhi elemen yang dinyatakan, pesalah boleh dihukum dengan beberapa cara menurut pendapat beberapa mazhab.
a.     Dihukum potong pergelangan tangan kanan dan pergelangan kaki kiri, kemudian dibuang daerah serta dipenjarakan (Al-Nafi)
b.    Dibunuh dengan menggunakan pedang
c.     Disalib
i.                   Disalib hidup-hidup, kemudian ditembak dengan javelin sehingga mati (Mazhab Hanafi dan Maliki).
ii.                 Disalib selepas dibunuh dengan pedang, untuk dipamer kepada orang ramai (Mazhab Syafie dan Hanbali)

Persetubuhan di luar nikah (Zina)
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah kerana kepada keduanya, mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman. An-Nur: 2

Ada 2 kategori di dalam hukuman zina
a.     Muhsan: Zina oleh individu yang sudah bernikah dan mempunyai pasangan samada suami atau isteri
b.    Ghairu Muhsan: Zina oleh individu yang masih bujang samada lelaki atau perempuan.

Syarat-syarat jatuh hukum hudud ke atas penzina
a.     Saksi
i.                   4 orang saksi lelaki (Perlu 2 orang saksi perempuan bagi menyamai seorang saksi lelaki)
ii.                 Islam dan Merdeka
iii.              Akil Baligh dan Beraqal
iv.              Keempat-empat saksi melihat perbuatan zina berlaku di tempat dan masa yang sama
v.                 Saksi mestilah tergolong dalam golongan yang adil dan tidak pernah membuat dosa besar.
vi.              Boleh menggambarkan kejadian zina tersebut.
b.    Iqrar dari penzina itu sendiri
i.                   Penzina telah insaf dan membuat pengakuan bahawa telah berzina dan melafazkan iqrar dengan jelas.
c.     Bukti-bukti (Qarinah)

Hukuman.
a.     Bagi Penzina belum berkahwin (Ghairu Muhsan) akan dikenakan hukuman sebat 100 kali seperti dalam ayat 2, Surah An-Nur.
b.    Bagi Penzina sudah berkahwin (Muhsan) akan dikenakan hukuman rejam dengan batu sampai mati.
i.                   Hadith Nabi: Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya sebagai balasan daripada hukuman Allah.
ii.                 Banyak kes Nabi Muhammad laksana hukuman rejam.
iii.              Ketika hukuman dilaksanakan, mesti ada orang awam yang melihatnya.


Menuduh orang lain berzina tanpa saksi dan bukti (Qazaf)
Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya (berzina) tanpa membawa 4 orang saksi, maka sebatlah mereka dengan 80 kali sebatan dan janganlah kamu menerima penyaksian dari mereka selama-lamanya kerana mereka adalah golongan fasiq.” An-Nur: 4

Ayat ini seolah-olah ingin melindungi keamanan masyarakat dari tersebarnya gosip-gosip buruk berkenaan maksiat seks jika sesuatu kes itu tidak mempunyai pembuktian yang cukup (4 orang saksi dan sebagainya).

Menuduh zina tanpa saksi hanya boleh dibuat oleh suami yang ingin menuduh isterinya berzina dan telah melihat kejadian tersebut dengan matanya sendiri.

a.     Bahawa Saad bin Ubadah berkata kepada Rasulullah SAW Ya Rasulalllah jika aku dapati isteriku bersama seorang lelaki adakah masih aku kena mencari 4 saksi , jawab nabi Ya.
b.    Hilal bin Umayyah telah menuduh isterinya berzina maka nabi meminta beliau datangkan bukti atau dijalankan hukuman ke atasnya sebab menuduh zina  tanpa bukti. Kata Hilal : “Apabila salah seorang dari kami melihat seorang lelaki berada diatas isterinya perlu lagi ia mencari bukti?” Nabi jawab: “Bawakan bukti jika tidak hukuman hudud ke atas kamu.”

Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar (QS An Nur 6-9)

Suami mestilah bersumpah dengan nama Allah sebanyak 4 kali dan melafazkan sumpah laknat satu kali jika berbohong apabila menuduh isterinya berzina. Si isteri jika mengaku akan dikenakan hukum hudud. Namun boleh bersumpah 4 kali nama Allah dan kali kelima, sumpah laknat jika bercakap bohong.

Minum Arak
“Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.” Al-Maidah: 90

Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram. Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih

Hukum meminum arak adalah haram di dalam Islam dan berdasarkan kepada banyak hadith nabi, barangsiapa yang diketahui dan dilihat meminum arak, mestilah disebat dengan 40 sebatan.

Murtad (Keluar Islam)
"Sesungguhnya orang yang kafir sesudah beriman, kemudian 
bertambah-tambah kekafirannya, sekali-kali tidak akan 
diterima taubatnya dan mereka itulah orang-orang yang 
sesat.” Ali-Imran: 90

“Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu : " Jika mereka berhenti dari kekafirannya, nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang lampau, dan jika mereka kembali lagi kafir (murtad) sesungguhnya akan berlaku sunnah Allah terhadap sebagaimana orang-orang terdahulu; Perangilah mereka supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu untuk Allah semata-mata " Al-Anfal: 38-39

Orang yang murtad hanya dihukum di bawah hudud hanya apabila dia mengisytiharkan dengan jelas dan nyata melalui lafaz dan pengakuan bahawa dia sudah tidak lagi Islam.

Hukum bagi orang yang murtad ialah hukum bunuh berdasarkan banyak hadith sahih. Mengikut pandangan majority mazhab, 3 hari diberikan sebagai tempoh bertaubat.

Hadith yang menghalalkan pembunuhan orang murtad: “Tidak halal darah Muslim yang bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah dan aku sebagai Rasulullah kecuali seorang lelaki yang kufur (murtad) selepas Islamnya, atau berzina selepas berkahwin atau membunuh seseorang" ( Riwayat At-Tirmidzi : At-tirmizi : hasan)



Bughah (Melancarkan Pemberontakan)
“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu (kembali kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” Al-Hujarat: 9

Hukuman bagi pemberontak yang melawan pemerintah Islam (majoriti ahli kerajaan dan pemimpin tertinggi ialah orang Islam) menurut majoriti pandangan mazhab ahlisunnah, wajib diperangi dan dibunuh. Sekiranya mereka mengaku kalah dan memohon pengampunan, tidak boleh dibunuh.

Pandangan Imam Syafie tentang bughah: Sekumpulan muslim yang menentang pemimpin dengan menggunakan kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka. Dengan syarat mereka itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua. (Kitab Nihayah Al-Muhtaj)

Syarat jatuh hukum Bughah
a.     Melanggar arahan pemerintah (Melanggar undang-undang)
b.    Kerajaan yang berkuasa secara relatifnya mestilah adil
c.     Penentangan turut melibatkan pentafsiran agama (bersifat takwil)
d.    Jelas niat dan perbuatan adalah untuk melancarkan pemberontakan, Coup D’état.
e.     Perbuatan penentangan turut disertakan dengan keganasan
f.       Kumpulan yang ingin memberontak dan menentang mesti terbukti mempunyai kapasiti persenjataan, kewangan, tenaga manusia.
g.     Ketua kumpulan penentang mestilah dikenalpasti terlebih dahulu.

Sekiranya cukup semua syarat ini, pihak kerajaan bolehlah bertindak menghapuskan puak pemberontak ini dan telah halal darah mereka. Mufti Perak, Tan Sri Harussani turut mengeluarkan fatwa serupa pada awal 2014 lalu.

QISAS
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang kena bunuh ; seorang  merdeka dengan seorang merdeka, seorang hamba  dengan seorang hamba, seorang perempuan dengan seorang perempuan.  Maka barangsiapa yang mendapat  kemaafan dari saudaranya hendaklah mengikuti dengan  baik dan hendaklah (yang diberi maaf) memberi (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik pula.  Yang demikian itu suatu keringanan dari tuhanmu dan suatu rahmat.  Barangsiapa yang melanggar lagi sesudah itu maka untuknya siksaan yang pedih.” Al-Baqarah: 178

Qisas bermaksud perbuatan. Namun dalam tafsiran hukum Qisas, ia bermaksud ‘menyamai’, ‘mengikuti’, selaras dengan makna perkataan ‘Qasas’ dalam:

Berkata (Musa)itulah yang kita kehendaki. Mereka pun pulang semula ke sana, dengan MENGIKUTI jejak mereka.” Al-Kahfi: 64

Hukum Qisas lebih ke arah hukuman kepada kesalahan-kesalahan homicide dan tortuous act:
a.     Membunuh dengan sengaja
b.    Menghilangkan anggota badan mangsa
c.     Mencedera, melukakan mangsa

Hukum ini jelas di sebut dalam Al-Quran:
a.     Dalam hal membunuh:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh." Al-Baqarah: 178

Pembunuh manusia lain, hukumnya dibunuh

b.    Dalam hal menghilangkan anggota badan dan mencederakan mangsa, Al-Quran menyebut balasan yang sama akan dikenakan kepada mereka yang menyakiti, mencederakan kepada mangsanya:
"Dan Kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawasanya jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka juga hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." Al-Maidah: 45

Dhiyat (Pampasan kepada keluarga mangsa)
a.    “Maka barangsiapa yang mendapat suatu pemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik.” Al-Baqarah: 178
b.    Dan di dalam Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu wahai orang-orang yang beraqal fikiran, supaya kamu bertaqwa.” Al-Baqarah: 179

Jika keluarga mangsa yang telah mati, bersedia memaafkan pembunuh yang memang bersalah, pembunuh tersebut perlu membayar ‘Dhiyat’ iaitu pampasan kepada keluarga mangsa.

Menurut pandangan mazhab ahlisunnah, nilai dhiyat bagi kes pembunuhan adalah dengan nilai 100 ekor unta.
a.     Harga seekor unta: RM 6000
b.    Nilai Dhiyat: RM 600,000

Namun pada hari ini, pihak keluarga mangsa boleh menetapkan jumlah yang dikehendaki seperti apa yang dipraktikkan di Arab Saudi saat ini.


TAKZIR
a.     Takzir ialah hukum-hukum Allah yang ditetapkan oleh pemerintah akan cara menghukumnya. Takzir juga diterima sebagai undang-undang yang dikuatkuasakan bagi kemaslahatan awam seperti undang-undang jalanraya, undang-undang kontrak perjanjian, undang-undang tanah dan sebagainya. Pemerintah diberikan kuasa oleh Allah untuk member perintah dan ketetapan-ketetapan yang tidak dinyatakan secara khusus di dalam Al-Quran dan Sunnah.
b.    Hukum takzir akan dikenakan ke atas para pesalah bagi semua kesalahan hudud jika pesalah tersebut tidak mencapai tahap pembuktian di bawah hukum hudud.
c.     Bermakna, jika pesalah tersebut tidak mencapai syarat untuk dipotong tangan kerana melakukan kesalahan mencuri, maka pemerintah boleh menetapkan hukuman lain seperti penjara, sebat atau melakukan kerja-kerja kemasyarakatan untuk tempoh tertentu.
d.    Takzir sudahpun berjalan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment