Thursday 25 September 2014

Yayasan Guru Tun Hussein Onn: Faedah Besar Buat Guru-Guru Malaysia


Guru-guru ialah seperti lilin yang membakar dirinya sendiri. Menerangi yang lain dengan ilmu pengetahuan di sepanjang hayatnya. Merekalah sebenarnya yang melahirkan jurutera, saintis, doktor, malahan Perdana Menteri sendiri mula dididik oleh seorang guru.

'Cikgu', panggilan paling mesra didengari di setiap sekolah. Baik di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Tidak mengharap gaji yang lumayan, tetapi merekalah asas yang melahirkan generasi bijak pandai di kemudian hari.

Latar Belakang & Tujuan (7 April 2014)

Dikemukakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan bertujuan menubuhkan perbadanan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Yayasan itu akan mengambil alih fungsi dan peranan Kumpulan Wang Simpanan Guru yang dicadang dibubar oleh rang undang-undang tersebut.

Bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 7 April 2014

Sejarah Kumpulan Wang Simpanan Guru

KWSG yang kini boleh dikira sama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Ditubuhkan pada tahun 1960 bertujuan sebagai sebuah tabung persaraan khusus bagi para guru.

Ahli-ahli ketika itu perlu membuat caruman bulanan sekitar enam peratus daripada gaji masing-masing.
Suruhanraya Diraja Aziz 1968

Perlaksanaan sistem `Gaji Aziz' membuatkan guru-guru diletakkan di bawah skim perkhidmatan yang disatukan serta bertaraf kakitangan kerajaan dan berpencen.

Majoriti pencarum KWSG mula menghentikan caruman mereka pada 1972, dan tahun-tahun berikutnya.

Sekitar 2,000 guru yang menolak opsyen `Gaji Aziz' tadi.

Hasil Caruman KWSG sehingga 2001

Sehingga 31 Disember 2001, KWSG (kini diletakkan di bawah pentadbiran Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan) menyelenggarakan akaun seramai 14,039 pencarum membabitkan jumlah hasil sehingga RM110 juta.

Bilangan tersebut termasuklah dua ahli yang masih aktif membuat caruman dan mereka yang belum layak mengeluarkan caruman masing-masing (belum mencapai usia wajib persaraan: 55 tahun) di samping sekitar 2,500 pesara guru yang layak mengeluarkan caruman berjumlah sekitar RM27 juta tetapi masih belum berbuat demikian setakat 2001.

Caruman oleh pencarum terakhir telah pun berakhir pada tahun 2006 yang lalu.

Berapa Tunai dan Aset KWSG Sekarang?

Menurut Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, jumlah wang tunai yang ada pada KWSG kini (Jun 2014), ialah RM47,761,320 dan memiliki asset sebesar RM254,931,779
(lebih dua ratus lima puluh juta ringgit!)

Semua tunai dan asset ini bakal dipindahkan ke bawah Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Apa Selepas KWSG?

Di bawah Akta 550 (Seksyen 153) Akta Pendidikan 1996, arahan pembubaran mana-mana tabung kewangan hanya boleh dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dan setelah mendapat nasihat daripada Menteri Kewangan.

Dana dan aset KWSG ternyata cukup banyak dan besar sehingga ke hari ini, termasuklah Wisma KWSG setinggi 22 tingkat di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Wisma KWSG di Kuala Lumpur

KWSG Pasca 2006 dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn

16 Mei 2007, Kerajaan mengumumkan penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn sebagai salah satu usaha untuk menjaga kebajikan dan pembangunan para guru.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata yayasan berkenaan akan mempunyai modal sebanyak RM300 juta dan dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Fungsi utama Yayasan Guru Tun Hussein Onn adalah kebajikan guru-guru seperti masa kecemasan, khairat dan banyak lagi. Ia adalah antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menambah baik kerjaya perguruan dan memelihara kebajikan para guru.

Penubuhan yayasan itu akan dilaksanakan dengan menggabungkan keupayaan sedia ada menerusi entiti tertentu seperti Kumpulan Wang Simpanan Guru dan Yayasan Guru Malaysia Berhad yang ditubuhkan pada 1994 di bawah Akta Syarikat 1995 sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan.
Yayasan Guru Tun Hussein Onn Pasca Abdullah Badawi dan Hishammuddin Hussein

23 Oktober 2010, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM200 juta untuk digunakan sebagai satu tabung untuk kebajikan guru-guru melalui penubuhan Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

Langkah itu akan dijalankan melalui pengambilalihan Kumpulan Wang Simpanan Guru sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga telah bersetuju untuk menambahkan dana sebanyak RM10 juta untuk membiayai aktiviti yayasan berkenaan.

Yayasan Guru akan mengambil alih pengurusan asset dan kewangan KWSG.

Bangunan Wisma KWSG yang menjadi aset amat bernilai yayasan guru ini

Fungsi Yayasan Guru Tun Hussein Onn Setelah Diperbadankan

Membantu kementerian mengelola aktiviti melibatkan kebajikan para guru

Membantu mana-mana pihak dalam kajian memperbaiki mutu pendidikan negara

Membantu dan menjaga kebajikan para guru

Membantu dari segi pendidikan anak-anak para guru

Melaksanakan apa-apa yang difikirkan sesuai dan selari dengan Akta Yayasan Guru Tun Hussein Onn setelah diperbadankan.

Faedah dan Rahmat Besar Buat Warga Pendidik, Guru-Guru.

Bayangkan, dengan jumlah wang tunai yang ada pada KWSG sebelum ini sebanyak
RM47,761,320 dan aset sebesar RM254,931,779 yang bakal dipindahkan ke bawah Yayasan Guru Tun Hussein Onn, apakah yang nikmat yang bakal diperolehi oleh semua warga pendidik dari segi kebajikan mereka.

Semoga wang dan asset yang besar ini dapat digunakan sepenuhnya bagi memenuhi fungsi-fungsi Yayasan Guru Tun Hussein Onn ini, tanpa apa-apa salahguna dan penipuan.

Kerajaan dalam masa yang sama akan berupaya untuk menjimatkan kewangan dan boleh menumpukan kepada program-program pembangunan ekonomi dan lain-lain. 

Para guru mesti menunjukkan teladan yang baik kerana mereka adalah contoh kepada murid-murid


No comments:

Post a Comment