PEMBANGKANG,
MAJLIS PEGUAM DAN COMANGO “MERAMPAS” MKPN (NUCC)
Oleh
Tun Abdul Hamid
Mohamad
Jika ada satu
keputusan yang saya buat dalam beberapa bulan lepas yang semakin terbukti
bahawa ia adalah betul, ianya adalah keputusan saya untuk menolak tawaran untuk
menjadi Pengerusi Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau lebih
dikenali dalam Bahasa Inggerisnya sebagai National Unity Consultative
Council (NUCC). Saya menolak tawaran itu kerana saya khuatir saya akan
menjadi alat untuk memanjangkan tuntutan-tuntutan pihak-pihak tertentu yang
senentiasa mencari peluang untuk menguatkan kedudukan mereka dengan
menghakiskan hak-hak orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak dan
kedudukkan agama Islam, sambil mengekalkan hak-hak mereka. Saya takut kiranya
saya akan menjadi “pengkhianat” kepada bangsa Melayu dan agama Islam. Saya
berbuat demikian sebelum saya mengetahui komposisi dan nama ahli-ahli MKPN.
Apabila saya
melihat komposisi dan nama ahli-ahli MKPN, saya lebih yakin bahawa keputusan
saya itu adalah betul. Besar kemungkinan MKPN akan menjadi saluran untuk
pihak-pihak yang mendokong program parti-parti pembangkang, terutama sekali DAP
dan PKR (manakala PAS, seperti biasa akan menurut sahaja) dan ahli-ahli
Melayu/Islam tidak akan dapat mempertahankan kedudukan yang diperuntukkan dalam
Perlembagaan Persekutuan, malah ada yang tidak akan mempertahankannya kerana
fahaman mereka yang “liberal” itu. Ahli-ahli yang terdiri daripada anak-anak
negeri Sabah dan Sarawak, terutama sekali yang beragama Kristian, yang kurang
senang dengan orang Melayu/Islam di Semenanjung kerana isu kalimah Allah, juga
akan bersekongkol tanpa menyedari bahawa hak-hak mereka juga akan terhakis.
Siapakakh
Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang dan Polisi MKPN?
Pengerusinya ialah YB Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit
Buntar dan Timbalan Pengerusinya ialah Encik Lim Chee Wee (LCW), bekas Presiden
Majlis Peguam. Dato’ Dr. Mujahid adalah seorang pemimpin PAS dan LCW adalah
mantan Pengerusi Majlis Peguam. Saya katakan bahawa Kerajaan melalui Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), secara senghaja atau tidak,
sedar atau tidak, telah menyerahkan tugas menetapkan dasar (polisi) dan
menyediakan draf rang-rang undang-undang berikut kepada pembangkang:
(National Harmony Act Bill)
1. Racial and
Religious Hate Crime Billl;
2. National
Harmony and Reconciliation Bill; and
3. National
Harmony and Reconciliation Commission Bill.
Mengapa saya
kaitkan Majlis Peguam dengan pembangkang? Semua orang tahu pendirian Majlis
Peguam mengenai politik tanahair. Terus terang saya katakan bahawa Majlis
Peguam menyebelahi dan menyokong Pakatan Rakyat, terutama sekali DAP dan
Keadilan. Tidak perlu saya menghabiskan ruang untuk menurunkan fakta-fakta
untuk menyokong kenyataan ini. Walau bagaimana pun saya akan cerita satu
peristiwa yang berlaku semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara.
Selepas PRU12,
Majlis Peguam mengadakan Majlis Makan Malam Tahunannya. Untuk menjaga hubungan
baik di antara Badan Kehakiman dan Majlis Peguam, saya hadir. Majlis itu tak
ubah seperti majlis menyambut kemenangan parti-parti pembangkang. Antara lain,
Dato Ambiga, Presiden Majlis Peguam berkata, “Akhirnya pengundi-pengundi
telah matang....” (Soalan saya: Adakah pengundi hanya matang apabila mereka
mengundi pembangkang, khususnya DAP dan Keadilan?) Encik Cecil Rajendra,
peguam-penyair dari Pulau Pinang itu, menulis sebuah puisi memuji peguam-peguam
yang memenangi pilihanraya atas tiket DAP dan Keadilan. Sebelum membaca
puisinya, beliau memanggil mereka naik ke pentas dan mengisytiharkan mereka
sebagai “Our heroes”. Itulah majlis rasmi Majlis Peguam yang menjemput
Ketua Hakim Negara sebaga dif kehormat! Saya berfikir sama ada hendak
meninggalkan majlis itu atau tidak, tetapi kerana tidak mahu membuat heboh,
saya sabar juga. (Mungkin itu salah satu kelemahan orang Melayu: Orang Melayu
terlalu sensitive terhadap perasaan orang lain sehingga orang lain tidak
perlu sensitive terhadap perasaan mereka.)
Saya difahamkan
bahawa LCW dan Andrew Khoo (Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis
Peguam dan seorang aktivis COMANGO) terlibat dalam menyediakan draf ketiga-tiga
rang undang-undang itu. Malah saya percaya bahawa firma guaman merekalah yang
membuatnya. Naskah awal yang saya terima melalui email tertera kata-kata “Prepared
by Bar Council”. Saya juga membandingkan kedua-dua set rang-rang
undang-undang itu. Banyak peruntukan kedua-dua set itu serupa, seksyen demi
seksyen.
Apa salahnya
jika pembangkang dilantik menjadi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
itu? Ia bererti, paling kurang, bahawa setelah BN berhempas pulas untuk
memenangi PRU 13, ia mengketepikan pengundi-pengundinya untuk mengambil hati
pembangkang. Jika demikian untuk apa penyokong-penyokong BN terutama sekali
UMNO berkerja keras untuk memberi kemenangan kepada UMNO dan BN? Pembangkang
pula tidak perlu berkerja keras untuk menang, sebab jika ia kalah sekalipun ia
akan dapat menyerapkan rancangannya untuk dilaksanakan juga.
Apa salahnya
jika Majlis Peguam yang menggubal draf awal? Saya katakan, apabila diberi
peluang Majlis Peguam semestinya akan menggubal seperti yang dikehendakinya,
sesuai dengan kehendak parti-parti yang disokongnya ia itu DAP dan Keadilan.
Hal seperi
ini pernah berlaku semasa saya menjadi Ketua Hakim Negara. Majlis Peguam telah
menggubal Rang Udang-Undang Pelantikan Hakim-Hakim. Draf itu dibawa kepada
Perdana Menteri (pada masa itu) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada
masa tu), Dato Zaid Ibrahim. Kerana ia melibatkan Badan Kehakiman, saya diberi
satu salinan. Ringkasnya, mengikut draf itu Suruhanjaya itu akan menentukan
siapa yang akan dilantik menjadi Hakim dan siapa yang akan naik pangkat
sehingga menjadi Ketua Hakim Negara. Dalam draf Majlis Peguam itu, majoriti
ahli-ahli Suruhanjaya itu adalah peguam-peguam. Ertinya penguam-peguamlah yang
akan menentukannya. Saya membantahnya. Antara lain, saya berkata: “Jika Rang
Undang-Undang ini diluluskan, Hakim-Hakim akan melutut kepada peguam-peguam.” Akhirnya,
rang undang-undang itu dipinda dan peruntukan mengenai ahli-ahli yang terdiri
daripada peguam-peguam dikeluarkan.
Tidakkah kita
belajar dari kesilapan itu? Atau, dalam hal ini, adakah ia disengajakan, cuai,
atau kerana tidak atau tidak dapat berfikir?
Saya difahamkan
bahawa LCW, bersama-sama Christopher Leong (Presiden Majlis Peguam ) dan Andrew
Khoo telah pun turun padang untuk mempromosikan agenda mereka.
Seperti yang
ditegaskan oleh MKPN, rang-rang udang-undang itu berada di peringkat rundingan.
Walaupun ia masih di peringkat rundingan, soalan saya ialah mengapa
pembangkang, termasuk Majlis Peguam dan COMANGO diminta, dibenarkan, dibiarkan
untuk menetapkan dasar dan menggubalnya, sedangkan mereka mempunyai agenda
sendiri?
Mengikut amalan
biasa, apabila Kerajaan hendak membuat sesuatu undang-undang, Kerajaan
(Kementerian atau Jabatan) akan terlebih dahulu membuat keputusan-keputusan
dasar. Selapas itu Kementerian/Jabatan akan mengarahkan Jabatan Peguam Negara
(melalui pegawai-pegawainya di Kementerian atau Jabatan itu.) Tugas Peguam
Negara adalah untuk menggubal seperti yang dikehendaki oleh sesuatu Kementerian
atau Jabatan. Mengapa amalan itu tidak diikuti?
Dalam hal ini,
adalah amat menghairankan mengapa jawatankuasa itu bukan sahaja diberi tugas
untuk mendraf rang-rang undang-undang, tetapi juga untuk menetapkan dasar
mengenainya. Peguam Negara pun tidak tidak diberi tugas seperti itu.
Perlu ditegaskan
bahawa saya tidak menentang pihak pembangkang dirunding mengenai rang-rang
udang-undang itu. Tetapi, janganlah sampai menyerahkan penentuan dasar dan
penggubalan kpada mereka. Mereka tentu sekali akan menetapkan dasar akan
menggubal mengikut kehendak mereka. Ini kita dapat lihat daripada kandungan
draf rang-rang undang-undang terebut.
Kerajaan BN,
terutama sekali UMNO dan juga PAS akan bertanggungjawab jika undang-undang itu
diluluskan dan ia akan menghakis hak-hak orang Melayu dan kedudukan agama
Islam. Pemimpin-pemimpin anak negeri Sabah dan Sarawak juga tidak akan terlepas
daipada tanggungjawab itu.
(Bhagian Kedua
akan membincang peruntukan-peruntukan rang-rang undang-undang itu)
tahamidm@gmail.com
www.tunabdulhamid.my
29 Jun 2014
RAKYATPOST menyanjung tinggi sumbangan akal budi oleh Yang Amat Arif, Tun Abdul Hamid Mohamad, Mantan Ketua Hakim Negara dalam menyeru agar kita berwaspada dalam menghadapi agenda Akta Harmoni ini. Mungkin baik dan kemungkinan besar adalah buruk, kita harus menggunakan akal yang bijaksana dalam menilainya.
Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian satu sen tak guna. RAKYATPOST.
Hmm... Bapak baguih, anak... |
Artikel Lain Berkaitan Akta Harmoni Nasional:
No comments:
Post a Comment